18 Mar 2012

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW

PENULIS : IBNU RIJAL
ISBN : 978-967-5426-827
PENERBIT : MUST READ SDN BHD

“Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada yang terus mendengar dariku....”

Sebuah bait patah daripada Rasulullah SAW di dalam khutbah terakhir baginda. Sabda baginda ini seolah-olah meniup sebuah harapan untuk penulis bagi meneroka apa mesej yang tersembunyi di dalam ‘Khutbah Terakhir’ ini kerana nabi mengharapkan supaya semakin lama, semakin ramai yang lebih memahami isi khutbah terakhir baginda ini. Apakah mesej tersirat di dalamnya?

Lalu, penulis cuba selami dan perincikan ayat demi ayat di dalam lembaran khutbah bersejarah ini. Hasilnya, subhanallah... begitu lengkap! Dalam satu khutbah yang ringkas, baginda nabi mendidik dan menyimpulkan kepada kita tentang persoalan akidah, ibadah, muamalat, munakahat, akhlak dan banyak lagi. Maka benarlah sabda baginda,

“Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada yang terus mendengar dariku..”

Khutbah terakhir Rasulullah SAW ini adalah ibarat sebuah rumusan bagi ajaran Islam yang baginda sebarkan selama 23 tahun. Kesemuanya dikumpulkan di dalam sebuah khutbah. Buku ini digarap berpandukan rujukan-rujukan yang masyhur dan diselitkan kisah-kisah tauladan umat terdahulu sebagai contoh huraian yang lebih jelas dan ‘mesra pembaca’. Selain itu, sepanjang bab para pembaca akan disentuh kalbunya agar kembali menyulam benih-benih cinta buat Rasulullah SAW dan segala keperibadian mulia baginda terserlah melalui khutbah terakhir ini. Di akhir bacaan, insya-Allah pembaca akan dapat merasakan perasaan cinta yang maha agung buat Rasulullah SAW dan akan lebih memahami khutbah terakhir Rasulullah SAW ini serta keajaiban yang ada di dalamnya. Mudah-mudahan.

9 Mar 2012

Wasiat Luqman Al-hakim (telaga biru / TBBK1122) RM20.00







Buku Wasiat Luqman al-Hakim ini harus menjadi buku modul panduan pendidikan insan bagi setiap individu muslim. Tip dan panduan adalah yang terpilih dan bersumberkan al-Quran, Hadis dan kata-kata ulama.
Pesanan atau wasiat Luqman amat berharga. Ia mengandungi hikmah yang mendalam untuk setiap orang untuk menjalani kehidupan. Pesanan Luqman yang disebutkan dengan jelas di dalam al-Quran merupakan perkara asas yang perlu diterapkan di dalam diri insan.
Kebijaksanaan Luqman mendorong beliau memberi pesanan kepada anaknya dengan perkara tersebut. Justeru ia adalah perkara penting yang perlu diberi penekanan dalam pendidikan.
Buku ini membentangkan kupasan mendalam mengenai pesanan Luqman yang termaktub al-Quran. Ini supaya pesanan yang berhikmah tersebut dapat difahami dan diamalkan sebaik mungkin. Disamping itu dihimpunkan pesanan lain yang diriwayatkan dan termaktub di dalam kitab-kitab tafsir al-Quran.
Luqman adalah seorang yang sangat prihatin menjaga adab. Diriwayatkan daripada Abu Darda’ tentang kebijaksanaan Luqman ini: Luqman merupakan lelaki yang cekal dengan kebenaran, pendiam, banyak bertafakkur, berpandangan jauh, tidak pernah tidur di siang hari. Tidak ada siapapun pernah melihat beliau meludah, berkahak, membuang air besar dan air kecil, mandi, bermasam muka dan ketawa (kerana menjaga adab). Beliau tidak mengulangi kata-katanya melainkan jika mengatakan suatu hikmah kemudian orang lain meminta supaya mengulanginya. Beliau pernah berkahwin dan memiliki beberapa orang cahaya mata namun kesemuanya menemui ajal, tetapi Luqman tidak menangisi kematian itu. Beliau juga mendampingi sultan dan pemerintah untuk melihat keadaan mereka dan mengambil iktibar. Inilah antara faktor yang melayakkan beliau memperolehi hikmah. (Al-Bidayah Wa Al Nihayah: jil - 2: hal: 124)